Lee Choo Hock 李主福 · 唯一尊重知识产权之马来文补习先锋 ···· 标准语法权威 ·讲义张张独家 ·文章篇篇精彩 · 学生个个精英 Asli· Eksklusif· Tepat · Relevan · Berwibawa· Berkesan ···· 黄金久淹在泥沙·今日开藏世共誇
gttn

Siapakah LEE CHOO HOCK?

Saya, LEE CHOO HOCK memiliki iijazah sarjana muda dengan kepujian ( B.A.(Ed.) Hons. (USM ) pada tahun 1988 dengan mengkhususi ilmu Linguitik. Walaupun saya hanya layak bergelar guru BM secara profesional pada tahun 1988, namun saya sudah mula berjinak-jinak dengan bidang yang saya cintai itu seawal 1985 dengan memberikan tuisyen secara sambilan.

Tahun 1989 merupakan titik-tolak yang melonjakkan kerjaya saya sebagai tutor BM sepenuh masa. Lonjakan itu berlaku oleh sebab pada tahun itulah saya mula mengarang karangan contah SPM atas desakan dan permintaan pelajar-pelajar bimbingan saya. Faktor lain yang turut mendorong saya berbuat demikian adalah daripada penilaian dan penelitian, didapati bahawa tiada buku rujukan di pasaran yang benar-benar menyediakan karangan yang layak dijadikan contoh atau sandaran kepada pelajar untuk mencapai gred A dalam SPM pada masa itu! Daripada 5 buah karangan contoh yang saya karang sebagai hasil kajian secara mendalam, salah sebuah karangan telah menepati atau mirip dengan soalan SPM pada tahun 1989 secara kebetulan. [ klik contoh ] Keputusan cemerlang pelajar-pelajar bimbingan saya pada tahun itu membuktikan andaian saya memang tepat dan berasas iaitu modul Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang kreatif, asli dan Eksklusif terbukti akan mempermudah pembelajaran pelajar untuk menguasai BM dengan cemerlang.

 

Di ruang siber ini, izinkan saya turunkan satu analogi untuk memperkukuh andaian saya sebagai seorang guru BM yang profesional. Dapatkah seorang tukang masak yang bertaraf dunia menghidangkan juadah yang bertaraf Michelin jika tiada peralatan masak-memasak, dapur termasuk ikan, daging, buah-buahan atau sayur-sayuran yang segar? Pada tahun 1990, saya telah menolak tawaran kawan sekampus saya yang berkerja sebagai editor di syarikat penerbitan Pelangi untuk menulis buku rujukan SPM. Hal ini demikian kerana saya rasa persiapan saya ke arah penerbitan buku masih pada peringkat rebung di samping enggan memperbodoh pelajar-pelajar dengan terbitan yang dimisegerakan!

 

Pada pertengahan tahun 90-an, saya mendepani satu masalah yang amat mencabar yakni budaya cetak rompak mula menjalar di Penang sehingga sesetengah guru sanggup menggadai maruah untuk menciplak / memplagiat nota-nota modul P&P BM saya. Namun begitu, cabaran itu tidak mematahkan semangat saya dalam penciptaan modul P&P yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sebaliknya, saya menganggap dugaan itu sebagai cabaran dan penjana untuk meneruskan hasrat murni saya dalam menyiapkan satu modul P&P BM yang terbaik di Malaysia. Berkat kesabaran dan kegigihan dalam pemurnian modul, akhirnya tarikh keramat yang sudah lama saya impikan itu berkunjung tiba jua pada tahun 2001( setelah 12 tahun ). Pada tahun itu, pendaftaran untuk melindungi Hak Cipta modul P&P BM Tingkatan 3, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 telah saya sempurnakan dengan syarikat Intelect-worldwide Sdn.Bhd. Pendaftaran hak intelek itu bermakna bahawa sesiapa yang menciplak harta intelek saya selepas itu akan saya bawa ke mahkamah sekali gus menuntut ganti rugi yang sewajarnya. Sejajar dengan itu, Modul P&P BM untuk Tingkatan 1 & 2 juga saya siapkan menjelang tahun 2006.

 

Modul P&P yang saya usahakan memiliki satu ciri yang tersendiri iaitu pelajar-pelajar yang mengikuti modul saya tidak perlu membuat sebarang latihan di rumah  untuk mencapai gred A+ dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Itulah namanya kreatif dan inovatif! Sehubungan dengan itu, pengorbanan saya dari segi masa dan perahan otak juga selaras dengan hasrat kerajaan yang menyeru para guru untuk membangunkan sekali gus menghormati harta intelek.

 

Seiring dengan peredaran zaman yang kini berpaksikan Teknologi Maklumat dan komunikasi, saya telah dipelawa seawal tahun 2001 untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat e-learn di Penang bagi menerbitkan modul karangan ramalan SPM secara dalam talian ( online) [ klik contoh ] Lantaran itu, tidak keterlaluan kalau saya layak digolongkan sebagai peneraju dalam bidang E-pembelajaran untuk BM.

 

Sekarang, dengan satu klik di hujung jari anda, keputusan cemerlang, gemilang dan terbilang pelajar-pelajar saya terpapar di depan mata anda. [Klik Contoh / contoh 2] Akan tetapi, ingatilah bahawa segala pencapaian itu tidak bergantung pada tangkal azimat atau lampu aladin tetapi kegigihan, ketahanan dan daya cipta seorang guru BM bergelar LEE CHOO HOCK.

 

Sebagai menyahut seruan kerajaan untuk merapatkan jurang pendidikan antara pelajar di Bandar dengan luar Bandar, dengan bantuan TMK khususnya laman web, saya mula bekerjasama dengan bmxpres.com sejak tahun 2008 untuk menawarkan modul karangan ramalan SPM kepada calon SPM di seluruh negara. Daripada maklum balas yang saya terima melalui SMS, [ klik Contoh ] terbukti bahawa modul ramalan yang saya usahakan itu banyak memanfaatkan baik pelajar-pelajar mahupun guru-guru Satu Malaysia!.

 

Pada tahun 2011, sebagai seorang guru yang bertindak sebagai peneraju dalam pembangunan Modul P&P untuk bahasa Melayu, sekali lagi saya telah dipelawa oleh sebuah syarikat Internet iaitu GTuition.com untuk merakamkan video P&P untuk pelajar Tingkatan 1 & 2. [ klik Contoh ] Dengan tersiapnya 20 modul terpilih itu, saya berharap agar pelajar-pelajar keturunan Cina di seluruh negara turut mendapat manfaat daripada modul video dalam talian itu bagi mempertingkat penguasaan mereka dalam asas BM terutamanya dari segi kosa kata, pengimbuhan, tatabahasa dan dari segi pengarangan sekali gus mencintai bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan kita bak kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’!

 

Begitulah serba ringkas sinopsis tentang sejarah perjuangan saya yang berliku-liku dalam memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia amnya dan di Penang khususnya. Mudah-mudahan usaha saya akan diberkati dan menyumbang ke arah pemerkasaan bahasa Melayu di tanah air yang kita cintai.

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa!

 

Sekiranya terdapat sebarang saranan atau idea-idea untuk penambahbaikan, sila hubungi saya melalui 1) LeeChooHock @ gmail.com atau 019-4454183 ( melalui SMS ) ( Hanya menjawab SMS yang dirasakan sesuai setelah disenaraipendekkan )